Hati wanita mana yang tak terusik mendengar perkhabaran bayi yang dikandung mengalami komplikasi hingga berlakunya keguguran.
Itulah yang dialami model terkenal, Amber Chia apabila cahaya mata keduanya tidak dapat diselamatkan selepas didapati dikandung luar rahim.
Berita ini sekali gus meragut harapan dan kegembiraan Amber yang turut menderita penyakit rahim sebelum ini.
Menurut petikan mStar Online Amber, maklum bahawa peratusan untuknya mengandung lagi tipis selepas menjalani pembedahan yang memerlukan dia melakukan rawatan susulan di Hospital Pantai Kuala Lumpur hingga kini.
Bagaimanapun, Amber meluahkan syukur kerana berkesempatan melahirkan anak sulungnya yang sudah berusia 4 tahun.
“Saya bersyukur dapat lahirkan Ashton Wong yang kini berusia 4 tahun. Cuma tidak sangka pula saya terpaksa berhadapan dengan pembedahan itu lagi.
“Sukar untuk menggambarkan perasaan apabila doktor memberitahu saya mengandung. Kemudian doktor mengatakan kandungan itu gugur. Perasaan bercampur baur, saya pasrah,” kata Amber ketika dihubungi.
Amber yang masih bersedih pada mulanya menyangka komplikasi dialaminya membuatkan dia tiada lagi harapan untuk mengandung. Namun perkara tersebut disangkal oleh doktor yang merawatnya.
“Doktor kata, saya boleh mengandung tapi saya tidak mahu memikirkan perkara itu lagi. Biarlah keadaan saya sihat sepenuhnya. Lagipun kita perlu meneruskan hidup seperti biasa.
“Dan tidak perlu terlalu bersedih kerana saya masih boleh bersyukur kerana mempunyai seorang anak berbanding segelintir pasangan lain yang masih berusaha untuk mendapatkan anak,” tambahnya. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : FARAH

