KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad mengingatkan: “Penjawat awam… hentikan segera amalan bermain golf di luar negara!”
Itu amaran keras SPRM kepada penjawat awam. Sesuai dengan pelbagai kes berprofil tinggi, amaran ini pasti ditujukan secara terbuka kepada penjawat awam pengurusan tinggi.
Selepas kes Watergate Sabah Oktober lalu babitkan RM65 juta dan tangkapan terkini babitkan rampasan RM8 juta di Kuala Lumpur, profilnya memang penjawat awam kelas tinggi. Amat jelas, amaran ini untuk bos-bos perkhidmatan awam.
Selepas kes Watergate Sabah Oktober lalu babitkan RM65 juta dan tangkapan terkini babitkan rampasan RM8 juta di Kuala Lumpur, profilnya memang penjawat awam kelas tinggi. Amat jelas, amaran ini untuk bos-bos perkhidmatan awam.
Selain amarab tegas, SPRM menganggap penjawat awam terbabit rasuah sebagai terhadap rakyat dan negara.
Segelintir penjawat awam kadang kala lupa mereka seharusnya berkhidmat untuk rakyat dan menjadi pelindung kepada hasil dan kepentingan negara.
Tahun ini, genap 50 tahun kewujudan SPRM. Usia yang cukup matang. Justeru, tindakan proaktif untuk memulakan siasatan kepada mana-mana pihak yang disyaki, menjadikan imej SPRM semakin gagah.
Kempen memerangi rasuah kini mencapai tahap lima bintang apabila SPRM berjanji akan bertindak tanpa menunggu laporan atau maklumat awam.
Apa tidaknya! Perasuah sekarang mudah dikesan terutama di kalangan bos-bos penjawat awam. Kehidupan mewah seperti selebriti Hollywood menceritakan realiti: Mereka sedang menari di atas wang rakyat!
“Ada tiga ciri yang menjadi petunjuk seseorang penjawat awam terlibat dalam amalan rasuah iaitu gaya hidup mewah termasuk bermain golf di luar negara, memiliki perempuan simpanan dan kerap ke luar negara,” kata Datuk Azam Baki.
Azam orang nombor dua SPRM. Ini amaran terbaharu mengenai profil penjenayah dalam perkhidmatan awam yang dipantau perisik SPRM. Sudah masanya SPRM mesti berani mendedahkan realiti. Bahawa budaya liar termasuk memiliki perempuan simpanan antara penyebab penjawat tinggi sektor awam jadi pemakan rasuah.
Malah lebih berani, Azam mendedahkan:
“Banyak kita dapat maklumat melibatkan pegawai kerajaan tertinggi dan pegawai kanan yang bermain golf di luar negara yang turut bersama adalah kontraktor dan pembekal. Kalau pergi seorang tidak apa, kadang-kadang satu pejabat pergi!”
Sebagai orang awam, kita marah kepada realiti buruk ini. Malah, kita tertanya-tanya: Bagaimana profil seburuk ini boleh dipilih Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menduduki jawatan strategik.
Malah, kita curiga: Apakah jawatan-jawatan utama yang berkaitan keselamatan negara, terdapat perasuah yang sedang menjual negara.
SPRM! Ayuh lebih agresif. Bersihkan tanahair ini dari perasuah yang sedang menghancurkan negara. -MYNEWSHUB.CC

