KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mendakwa seramai 6,000 kakitangan Malaysia Airlines (MAS) tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya kerana bakal diberhentikan pada waktu sebanyak RM6 bilion diperuntukkan untuk menyelamatkan syarikat penerbangan itu.
Beliau mendakwa, pihak terlibat dalam penstrukturan semula MAS sepatutnya melakukan audit ke atas setiap Ahli Lembaga Pengarah MAS kerana telah gagal untuk memastikan kejayaan syarikat penerbangan nasional tersebut berbanding mengambil jalan memberhentikan kesemua pekerja terbabit.
“Pihak pengurusan MAS harus dipertanggungjawabkan ke atas nasib para pekerja yang bakal terkesan akibat kegagalan ini. Nasib mereka tidak dibela dengan adil dan telus,” dakwanya melalui satu kenyataan hari ini.
Nurul Izzah turut menggesa satu firma audit forensik antarabangsa bebas dilantik untuk menyediakan laporan audit forensik bagi menjawab persoalan mengapa MAS masih gagal mencatat keuntungan selepas beberapa penyuntikan dana dilakukan.
“Yang nyata, penstrukturan semula buat kali ketiga ini berhak memberi justifikasi kepada tuntutan selanjutnya supaya prestasi dan kerja setiap ahli lembaga pengarah MAS diaudit,” katanya.

