• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Saturday, June 20, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Bentong Bypass Atasi Masalah Kesesakan Bandar Bentong

oleh Ahmad Albab
05/01/2017
dalam Terkini
0
Share on FacebookShare on Twitter

BENTONG – Projek pembinaan Central Spine Road (CSR) ‘Bentong Bypass’ sepanjang 28.5 kilometer (km) dengan jumlah kos sebanyak RM578.25 juta bakal mengatasi masalah kesesakan bandar Bentong apabila siap pada tahun 2019.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Bentong Bypass juga dapat merancakkan ekonomi pantai timur kerana laluan itu menjimatkan jarak perjalanan dan meningkatkan aspek keselamatan pengangkutan.

Beliau menambah Bentong Bypass yang bermula berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong merupakan projek yang diberi keutamaan, ekoran masalah kesesakan teruk pada musim perayaan dan hujung minggu di bandar Bentong.

“Bentong Bypass merupakan laluan alternatif kepada Jalan Persekutuan yang dapat memberi keselesaan kepada pengguna dan mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menjimatkan masa perjalanan.

“Pelaksanaan projek ini juga mengambil kira pandangan penduduk setempat yang mahu ia tidak terlalu jauh dari bandar kerana tidak mahu bandar Bentong menjadi pekan mati (selepas CSR siap),” katanya.

Fadillah berkata demikian pada sidang media selepas meninjau tapak projek Bentong Bypass di Kampung Lebu di sini hari ini, yang turut disertai Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai merangkap Anggota Parlimen Bentong.

Beliau menjelaskan Bentong Bypass merupakan sebahagian daripada Pakej 5 projek pembinaan CSR yang bermula dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang yang keseluruhannya sepanjang 350km dengan kos keseluruhan RM6.6 bilion.

Pakej 5 melibatkan perjalanan dari Raub ke Bentong sepanjang 54km dan pembinaan Bentong Bypass dibahagikan kepada tiga seksyen pembinaan dan telah dimulakan secara berperingkat pada 5 Nov 2015.

“Projek Bentong Bypass melibatkan pembinaan jalan baharu empat lorong dua hala dengan piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) R5 iaitu tahap yang tinggi, satu persimpangan bertingkat, satu jambatan dan satu vehicular box culvert (VBC),” katanya.

Fadillah berharap kontraktor yang dilantik, Primercon Sdn Bhd dan Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku pegawai penguasa akan melaksanakan tugas dengan baik bagi memastikan projek siap mengikut tempoh dan kos yang diluluskan.

Mengulas mengenai CSR, Fadillah menambah selain Bentong Bypass, keutamaan dalam pelaksanaan CSR juga diberikan kepada projek laluan Mentara ke Kampung Seberang Jelai, di Pahang sepanjang 61.15km atas faktor keselamatan.

Projek itu merupakan sebahagian daripada Pakej 3 CSR iaitu dari Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Kuala Lipis yang keseluruhannya melibatkan perjalanan sejauh 92.5km.

Sementara itu, Liow berkata pembinaan Bentong Bypass akan memberi nilai tambah kepada daerah itu selepas menerima berita baik berhubung pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang turut melalui bandar itu.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana masalah kesesakan telah lama berlaku di sini menyebabkan kami membuat permohonan supaya projek Bentong Bypass diberi keutamaan.

“Projek ini juga akan membolehkan kekayaan ekonomi dikongsi secara bersama dengan penduduk di pantai timur kerana ia akan mendekatkan jarak perjalanan dan memudahkan pengangkutan barang serta lebih selamat,” katanya. – BERNAMA

Tags: Bentong Bypass
Share196Tweet123SendShare

Related Posts

No Content Available
MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd