MAKKAH – Hampir 50 buruh warga asing dihukum penjara dan sebat oleh pihak mahkamah di sini kerana melakukan demonstrasi protes tahun lalu sebagai protes gaji mereka tidak dibayar.
Media Arab Saudi yang dipetik stesen penyiaran antarabangsa BBC pada 4 Januari menyatakan bahawa hukuman penjara tersebut melibatkan masing-masing antara tempoh 45 hari hingga empat bulan bagi pesalah terlibat.
Sebahagian tenaga kerja asing berkenaan turut dijatuhi hukuman sebat sebanyak 300 kali oleh hakim mahkamah atas kesalahan sengaja melakukan kerosakan terhadap kemudahan awam dan mencetuskan kekacauan jalanan.
Laporan media Arab Saudi bagaimanapun tidak menyatakan dengan secara terperinci kerakyatan setiap pekerja asing yang dikenakan hukuman sabitan kes tersebut untuk memberi pengajaran kepada warga luar biadap.
Harga harus dibayar akibat melakukan protes di negara ‘kaya minyak’ rantau Asia Barat itu tetap tinggi. Sebahagian mereka adalah pekerja sektor am daripada firma perusahaan pembinaan raksasa terkenal, Saudi Binladin.
Baca: 10,000 Pekerja India Di Saudi Kebuluran Dibuang Kerja

Syarikat berkenaan memecat ramai petugas warga asing malah bertindak tidak membayar gaji mereka selama berbulan-bulan ketika ekonomi Arab Saudi terjejas teruk ekoran penurunan berterusan harga minyak dunia.
BBC turut melaporkan beberapa siri kekacauan dalam kalangan ramai pekerja asing di Arab Saudi yang dipicu oleh isu pemberhentian kerja ratusan ribu orang di sejumlah perusahaan besar tempatan dan antarabangsa.
Kebanyakan antara mereka dibiarkan begitu sahaja manakala gaji tidak pernah dibayar sehingga menyebabkan ramai kebuluran. Sejumlah bas milik syarikat Saudi Binladin dilaporkan dibakar oleh tenaga kerja yang marah.
Perusahaan itu didirikan lebih 80 tahun lalu oleh bapa dari pemimpin rangkaian Al Qaeda, Osama bin Laden, yang terbunuh dalam operasi serbuan khas tentera elit Amerika Syarikat di Abbottabad, Pakistan pada 2011.
Firma perusahaan itu mengembangkan banyak gedung besar di Arab Saudi, namun industri pembinaan sangat terpukul akibat kejatuhan harga minyak yang menjadi tunjang ekonomi negara. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

