ALOR SETAR – Sempena musim cuti sekolah ini, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) meraikan 100 kanak-kanak yang akan menyertai majlis Berkhatan Beramai-ramai, di Sekolah Kebangsaan Mergong di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Ahmad Bashah berkata PNS, yang merupakan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), mengambil inisiatif mengadakan majlis itu sebagai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
“Majlis berkhatan yang dinamakan sebagai program “Jom Masuk Jawi” ini merupakan program CSR kedua PNS di Kedah selepas Langkawi. Saya lihat program ini dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Saya lihat kanak-kanak ini telah bersedia dan bersemangat untuk menjalani proses berkhatan,” katanya kepada pemberita di SK Mergong hari ini.
Ahmad Bashah berkata PNS menyediakan pelbagai barangan kepada kanak-kanak berusia antara tujuh dan 12 tahun yang turut serta dalam program itu, selain menyumbangkan RM30,000 kepada SK Mergong untuk penyelenggaraan sekolah bagi menyediakan persekitaran yang selesa kepada murid-murid sekolah.
“PNS membawa beberapa doktor dan pegawai perubatan untuk memastikan proses berkhatan berjalan dengan lancar. Kanak-kanak ini turut diberi baju Melayu, kain pelekat dan tilam secara percuma,” katanya.
Katanya beliau berharap agar agensi-agensi lain terutamanya di bawah KPDNKK untuk memperbanyakkan program-program berbentuk CSR bagi membantu golongan tidak bernasib baik.
Sementara itu, Pengarah Urusan PNS Datuk Syed Kamarulzaman Datuk Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata PNS telah melakukan lima program CSR berlainan di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Kedah.
“Program kali ini kita tumpukan pada golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan bagi meringankan beban kerana ia secara percuma,” katanya.
Seorang peserta program khatan, Fikri Faizal, 7, dari SK Datuk Kumbar di sini berkata beliau tidak takut berkhatan bersama rakan-rakan yang lain.
Pasangan kembar, Mohammad Adil Rahim Asgal dan Mohammad Aidil Rahman Asgal, 12, dari SK Seri Amar Diraja di sini berkata mereka sedikit gentar untuk menjalani proses berkhatan tetapi pada masa sama lega kerana dapat menjalani proses itu bersama-sama. – BERNAMA