SEREMBAN – Orang ramai berpeluang mengunjungi Fiesta Bunga dan Orkid yang menawarkan harga ladang di Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar), KM12, Jalan Seremban-Kuala Pilah, Paroi dekat ini pada 22 hingga 25 Disember ini.
Fiesta anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri itu menawarkan 650 jenis pokok orkid, pelbagai jenis pokok bunga, tanaman hiasan, anak pokok buah-buahan, herba, pelbagai tanaman makanan, baja dan penggalak tanaman serta benih tanaman.
Pengarah FAMA negeri, Muslim Manja berkata fiesta ini dilaksanakan di bawah program galakan pasaran dan sokongan pemasaran dengan menerapkan aspek aktiviti kempen, galakan dan promosi yang memfokuskan kepada sektor florikultur.
“Fiesta ini bakal dijadikan sebagai acara tahunan bagi menarik orang ramai untuk bertandang ke Pakar, Paroi,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Katanya program seumpama ini sangat bermanfaat khususnya dalam mengerakkan aktiviti perekonomian setempat serta membantu para usahawan untuk mempromosi serta memasarkan produk mereka.
Muslim berkata 24 lot gerai jualan florikultur melibatkan 11 usahawan termasuk Unit Florikultur FAMA Negeri Sembilan akan menyertai fiesta itu.
Fiesta ini dijangka akan dirasmikan Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak pada Sabtu ini. – BERNAMA

