JAKARTA – Organisasi pengusaha pengangkutan terbesar Indonesia, Dewan Pengurus Pusat Angkutan Darat (Organda) bakal melancarkan mogok secara besar-besaran bermula tengah malam Rabu sebagai membantah kenaikan harga minyak oleh Presiden Joko Widodo.
Protes mega seluruh republik itu menurut Ketua Umum Organda, Eka Lorena Surbakti kepada akhbar berpengaruh Kompas hari ini, melibatkan semua pengusaha dari Sabang di wilayah paling utara Aceh sehingga ke penghujung Indonesia di Marauke, wilayah Papua.
“Kami akan henti operasi pengangkutan mula 12 tengah malam 19 November ini bagi bantah keras harga BBM (bahan bakar minyak) naik terlalu tinggi iaitu 30 peratus,†tegas wanita berusia 45 tahun yang juga pengusaha syarikat pengangkutan terbesar, Lorena Grup.
Eka mendakwa Organda telah menghantar nota protes kepada Menteri Perindustrian, Saleh Husin; Menteri Perdagangan, Rachmat Gobel dan Menteri Perhubungan, Ignasius Jonan tetapi setakat ini organisasi itu belum menerima apa-apa maklum balas pihak pemerintah.
Beliau namun tidak menjelaskan tempoh penghentian operasi pengangkutan darat itu yang pastinya akan memberi kesan besar kepada puluhan juta pengguna khasnya bas awam dan lori yang jadi nadi penghantaran penumpang serta barangan di serata Indonesia.
Presiden yang lebih mesra disapa sebagai Jokowi itu semalam mengumumkan secara mengejut pengurangan besar subsidi BBM dengan harga premium ditetapkan pemerintah daripada 6,500 rupiah (RM1.80) seliter kepada 8,500 rupiah (RM2.35). – Agensi


