WELLINGTON – Parti pemerintah New Zealand, Parti Nasional, melantik Bill English sebagai Perdana Menteri baru negeri itu berikutan peletakan jawatan mengejut pemimpin sebelum itu, John Key.
Parti itu bertemu bagi mengesahkan keputusan itu pagi ini dengan English akan mengangkat sumpah secara rasmi di Rumah Kerajaan di Wellington lewat hari ini.
Paula Bennett pula dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Bill dan Paula ialah pemimpin hebat yang akan memberikan gabungan terbaik pengalaman dan pemikiran baru.
“Menurut kepemimpinan mereka, rakyat akan terus mendapat faedah daripada kerajaan stabil yang diharapkan, bersama-sama memberi tumpuan khusus kepada memberikan hasil kepada keluarga dan perniagaan,” kata presiden parti, Peter Goodfellow.
English, 54, ialah calon kegemaran Key untuk menggantikan beliau.
Seorang peladang yang mempunyai ijazah dalam perdagangan dan sastera, beliau menjadi ahli Parlimen sejak 1990 dan sebelum ini menjadi ketua Parti Nasional pada 2002 apabila ia berhadapan kekalahan paling teruk pada pilihan raya.
Key meletak jawatan bagi bersama keluarga, dan baru meraikan sambutan ulang tahun kelapan sebagai Perdana Menteri dan ke-10 sebagai pemimpin Parti Nasional.
“Tahniah kepada rakan baik saya @honbillenglish kerana menjadi pemimpin baru @nznationalparty dan bakal Perdana Menteri New Zealand,” twit Key tidak lama selepas pengumuman itu. – AFP

