
HONG KONG – Sejak 28 September, imej Hong Kong di mata dunia tercalar gara-gara tindakan ganas aktivis prodemokrasi ‘menawan’ beberapa jalan utama di sekitar bangunan kerajaan membantah tindakan pihak berkuasa menapis calon pilihan raya tempatan.
Hari ini selepas sekian lama bersabar, pihak berkuasa Hong Kong mula bertindak tegas membersihkan ‘tapak perkhemahan’ aktivis terbabit yang bukan sahaja menyekat laluan di pusat bandar malah menyusahkan kehidupan harian penduduk selama tujuh minggu.
Puluhan anggota polis dan pegawai mahkamah mengawal CITIC Tower setinggi 33 tingkat di daerah Admiralty menempatkan pejabat-pejabat kerajaan selepas mahkamah mewartakan perintah injunksi menghalang aktivis ‘berkampung’ di sekeliling bangunan.
Manakala puluhan pekerja mengalihkan pagar sekatan di tiga persimpangan setelah mahkamah mengeluarkan perintah pembersihan susulan tuntutan beberapa syarikat bas dan teksi serta persatuan perniagaan yang makin bosan dengan gelagat aktivis itu.
Perintah turut meliputi daerah Mongkok dan Causeway Bay yang merupakan kawasan beli-belah ternama di samping tindakan mahkamah ke atas penunjuk perasaan jika berdegil boleh dikenakan tuntutan saman jutaan dollar Hong Kong daripada peniaga di kawasan itu.
Aktivis dikenali sebagai Revolusi Payung kerana menggunakan payung sebagai pelindung tembakan meriam air dan gas pemedih mata oleh pasukan polis antirusuhan mencetuskan protes ekoran sikap Beijing mencampuri urusan pilihan raya Hong Kong pada 2017.
Mereka mendakwa kerajaan pusat tidak demokratik apabila cuma membenarkan individu pro-Beijing menjadi calon sekali gus mengawal kebebasan Hong Kong kononnya di bawah polisi satu negara dua sistem selepas tamat pentadbiran British pada 1997. – Agensi


