BAGAN SERAI – Akta Lembaga Lebuhraya Malaysia (Perbadanan) 1980 akan dipinda sebagai usaha untuk menambah baik kawal selia lebuh raya dan syarikat konsesi di negara ini.
Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata rang undang-undang bagi pindaan akta itu dijangka dibentang di Parlimen tahun depan.
“Ketika ini LLM dalam proses merangka draf pindaan itu dan ini dilakukan demi kepentingan pengguna serta rakyat khasnya,” katanya kepada pemberita selepas Program Tok Mudin Tok Mi peringkat Parlimen Bagan Serai di sini hari ini.
Pada majlis itu seramai 30 daripada 90 pelajar sekolah yang terlibat dikhatankan sendiri oleh Dr Noor Azmi yang juga Anggota Parlimen Bagan Serai.
Menjelas lanjut, Dr Noor Azmi berkata pindaan akta berkenaan perlu supaya perancangan dan pembinaan lebuh raya baharu adalah pada tahap terbaik selain memudahkan pemantauan terhadap lebih 30 syarikat konsesi.
Selain itu, Dr Noor Azmi berkata keputusan kerajaan tidak menaikkan kadar tol pada tahun ini dan tahun depan bukti keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap rakyat.
Katanya walaupun ekonomi global tidak menentu, kerajaan tetap komited memastikan rakyat menikmati kemudahan termasuklah dengan membina Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat yang menghubungkan Taiping dengan Banting.
Projek itu diyakini bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk,tetapi dapat merangsang ekonomi masyarakat setempat, katanya. – BERNAMA

