SINGAPURA – Selepas lebih 90 tahun dalam industri penjualan buku Cina dan kemudian Inggeris, kedai buku POPULAR kini mahu membuat kehadiran lebih ketara penjualan buku Melayu pula.
Menjelang pertengahan tahun depan, POPULAR yang diasaskan di sini pada 1924 lalu, bakal mengedarkan buku-buku berbahasa Melayu meliputi di tujuh buah cawangannya di serata republik tersebut, lapor media tempatan.
Ini bermakna, lagi tiga cawangannya akan menjual judul buku Melayu iaitu di pusat beli-belah Tampines Mall, Lot 1 dan Northpoint, selain daripada empat cawangan perintisnya yang sudah pun berbuat demikian mulai tahun ini.
Bermula diasaskan oleh Chou Sing Chu dengan cawangan pertama North Bridge Road, di sini, POPULAR setakat ini ada lebih 130 cawangan di seluruh Singapura selain negara jirannya, Malaysia dan juga di Hong Kong, China.
Baca: Insafi Kisah Nasib Umat Melayu Islam Di Singapura

POPULAR yang juga merupakan gedung jualan alat tulis terbesar menyatakan bahawa langkah dramatik itu merupakan sebahagian usaha untuk menggalakkan semangat kedwibahasaan dalam kalangan pembaca Singapura.
Syarikat tersebut yang asalnya bernama Cheng Hing Company; sebenarnya telah mula menawarkan buku berbahasa Melayu lebih dua tahun lalu, menerusi buku masakan cef terkenal dari Malaysia, Redzuawan Ismail atau Chef Wan.
Sekarang ini, POPULAR sudah mempunyai sekitar 700 tajuk buku Melayu merangkumi genre masakan, novel, agama dan kanak-kanak di empat cawangan permulaan di One KM, Bedok Mall, Causeway Point dan Jurong Point.
Selain berusaha menambah cawangan yang dapat mengedarkan buku-buku berbahasa Melayu, POPULAR juga akan meningkatkan lebih banyak tajuk buku Melayu, terutama bagi genre masakan dan novel yang cukup digemari.
Baca: Kisah PM Singapura Seronok Cakap Bahasa Melayu

Menurut jurucakap POPULAR, sambutan yang menggalakkan daripada para pembeli Melayu khasnya golongan remaja dan wanita mendorong kedai buku itu untuk meluaskan jangkauannya dalam segmen pasaran Melayu.
Tahun ini sahaja menyaksikan peningkatan 23 peratus jualan buku Melayu berbanding tahun lalu, dedah Menteri Perhubungan dan Penerangan merangkap Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Dr. Yaacob Ibrahim.
Berucap ketika merasmikan acara pelancaran POPULAR Bookfest@Singapore ke-10 semalam, beliau berharap langkah POPULAR menambah bahan bacaan dalam bahasa ibunda sekali gus menarik lebih ramai pembaca baharu.
“Saya juga gembira bahawa memandang ke hadapan, POPULAR akan luas sayapnya dalam sektor buku Melayu. Menerusi usaha sebegini, kami berharap lebih ramai akan meneroka dalam bahasa ibunda etnik yang lain.
Baca: Hampir 1,000 Orang Memeluk Islam Setahun Di Singapura

“Siapa tahu, anda mungkin berminat untuk mempelajari bahasa ketiga dan budayanya.” kata Yaacob sambil mahu menggalakkan lebih banyak kedai buku menyumbang kepada matlamat mewujudkan budaya membaca yang aktif.
Untuk tahun ke-10 ini, Bookfest@Singapore yang merupakan acara buku dan alat tulis terbesar dari segi saiz iaitu seluas 130,000 kaki persegi di dewan konvensyen Suntec turut menampilkan lebih banyak jenis barangan pengguna.
Ini termasuk produk perkakas elektrik, kanak-kanak dan makanan. Buat pertama kalinya juga, POPULAR Bookfest@Singapore menyediakan pelbagai acara untuk dinikmati seisi keluarga termasuk acara memasak.
Pada acara tahun hadapan, POPULAR berhasrat untuk menyediakan lebih banyak aktiviti dalam bahasa Melayu pula termasuk Pertandingan Membaca Secara Kreatif Melayu Kebangsaan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

