KUALA LUMPUR – Sumbangan kewangan yang diterima daripada orang ramai dan syarikat korporat untuk Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) bagi disalurkan kepada pelajar yang memerlukan pada tahun hadapan berkurangan.
Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Pendidikan, Datuk Abd. Wahid Ahmad berkata ini berikutan sumbangan yang diterima bagi tahun ini sehingga 30 November adalah RM617,886 berbanding RM909,289 pada 2015.
“KWAPM memerlukan lebih banyak sumbangan daripada orang ramai dan warga korporat bagi membantu pelajar daripada kategori miskin dan miskin tegar seluruh negara.
“Tahun hadapan, kerajaan menyumbangkan sejumlah RM200 juta bagi membantu pelajar daripada kategori miskin dan miskin tegar seluruh negara namun sumbangan daripada orang ramai sangat sedikit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di ruang legar Pameran Kementerian Pendidikan di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini yang diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016.
KWAMP, ditubuhkan pada 2003, menerima sumbangan daripada kerajaan dan orang ramai untuk membantu pelajar miskin daripada tercicir dalam persekolahan, selaras dengan Dasar Pendidikan Wajib di bawah Seksyen 29A Akta Pendidikan 1966.
Secara purata, bantuan KWAMP menelan belanja RM250 juta setahun.
Abd Wahid berkata jika orang ramai banyak menderma, kerajaan dapat mengurangkan peruntukan kepada tabung itu sekali gus memberi ruang kepada dana itu diberikan kepada program dan bantuan lain yang lebih memerlukan.
Terdapat dua jenis sumbangan iaitu bantuan am persekolahan RM200 setahun untuk pelajar sekolah rendah dan RM300 (sekolah menengah) dan bantuan bulanan antara RM25 dan RM50 bagi pelajar sekolah rendah dan RM30 dan RM60 (sekolah menengah).
Katanya terdapat 19 program bantuan bernilai RM3.05 bilion akan dilaksana tahun hadapan dan semua bantuan termasuk KWAMP akan disalurkan sebelum Mac tahun hadapan.
“Sumbangan diberikan potongan cukai. KPM amat mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak dengan kredit terus sumbangan atas nama SUMBANGAN TABUNG KWAMP di akaun Maybank 564016117704 dan melalui cek berpalang, wang pos, kiriman wang atas nama Ketua Akauntan Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya. – BERNAMA