KUALA LUMPUR- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dalam tragedi runtuhan jambatan konkrit di tapak pembinaan di KL Eco City, berhampiran Kampung Haji Abdullah Hukum, Bangsar ditamatkan pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penguasa Kanan Bomba I, Ruhisha Haris berkata, operasi yang bermula sejak 8.30 pagi tadi bersama 68 anggota daripada pelbagai agensi termasuk khidmat anjing pengesan K-9 mendapati tiada menunjukkan mangsa di bawah runtuhan.
“Selepas kira-kira dua jam operasi SAR diteruskan, kami berpuas hati selepas pemeriksaan pasukan K9 mendapati tidak ada menjumpai mayat di bawah runtuhan.
“Operasi ini ditutup jam 11 pagi ini tetapi kami akan menempatkan anggota di lokasi sekiranya ketika proses pembersihan, pihak kontraktor atau pemaju menjumpai mayat,” katanya.
BACA INI: 3 Pekerja Parah Selepas Binaan Konkrit Runtuh
Menurutnya, operasi tersebut disertai Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau menjelaskan maklumat mengenai terdapat seorang pekerja binaan yang masih terperangkap dalam runtuhan itu tidak dapat dipastikan apabila pemberi maklumat iaitu rakan mangsa dan pihak kontraktor gagal mengemukan maklumat mengenai mangsa.
“Rakan sekerja mangsa melihat mangsa berjalan di bawah runtuhan sebelum kejadian tetapi dari jarak yang jauh.
“Pihak kontraktor juga memaklumkan ada pekerja mereka yang hilang tetapi apabila ditanya mengenai nama mangsa, mereka gagal memberinya,” katanya.
BACA INI: Binaan Runtuh: 1 Maut, 3 Parah, 6 Terperangkap
Jelasnya, tidak menolak kemungkinan mangsa tercampak ke dalam sungai susulan penemuan mayat yang juga mangsa tragedi runtuhan itu di tebing sungai.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.33 petang semalam, jejantas yang masih dalam pembinaan sepanjang 70 meter runtuh dan menyebabkan seorang pekerja warga Vietnam meninggal dunia, dua kriktikal manakala tiga cedera.-MYNEWSHUB.CC

