KUALA LUMPUR – Lokasi kem latihan untuk skuad pecut lelaki negara perlu mempunyai siri pertandingan yang kompetitif dan pencabar yang mampu memberikan saingan kepada atlet kebangsaan.
Itu adalah kriteria utama yang diharapkan oleh jurulatih Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Mohd. Poad Md. Kassim yang membimbing beberapa atlet pecut negara, termasuk ‘Raja Pecut’ Khairul Hafiz Jantan, selain mempunyai kemudahan bertaraf antarabangsa.
Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebelum ini merancang untuk menghantar skuad pecut negara berlatih di Kelab Trek Santa Monica, Amerika Syarikat (AS) yang pernah melahirkan jaguh pecut seperti Carl Lewis dan Floyd Heard, sebagai persediaan untuk Sukan SEA 2017.
Namun, tumpuan kini terarah ke Australia apabila keadaan di kelab terkemuka itu dilaporkan tidak menepati kriteria yang ditetapkan oleh MSN dan KOM berdasarkan hasil tinjauan yang dibuat ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas.
“Kami masih menunggu keputusan dari pihak MSN dan KOM…mungkin akan berlatih di Melbourne atau Perth. Tujuan kita nak ke luar dari tempat kita biasa berlatih adalah untuk dapatkan persekitaran baharu, tukar pengamalan dan teknologi mereka serta bersaing dengan atlet di sana.” katanya.
“Mengikut perancangan awal nak pergi ke AS untuk belajar dengan kemudahan teknologi dan pengalaman mereka, kerana ada ramai atlet pecut di negara itu. Di Australia, tidak tahu sama ada boleh kongsi idea dengan orang di sana atau tidak,” kata Mohd. Poad ketika dihubungi Bernama.
Mohd. Poad, yang turut membimbing Badrul Hisham Abdul Manap, Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Azam Masri, juga meragui kemampuan pelari pecut di Australia, untuk memberikan persaingan kepada anak-anak didiknya untuk terus meningkatkan prestasi mereka.
“Sebab setakat ini saya tak dengar lagi atlet Australia yang lakukan bawah 10 saat (100m). Saya dengar bahawa kejohanan di Australia akan bermula seawal Februari, berbanding AS dan Eropah yang agak lewat.
“Apa pun, saya berharap kita boleh bersaing dengan atlet-atlet yang mempunyai catatan bawah 10 saat dalam beberapa kejohanan di Australia dan Eropah nanti supaya dapat tingkatkan lagi prestasi pelari negara dalam persediaan ke Sukan SEA,” jelasnya.
Untuk rekod, sepanjang tahun ini hanya seorang pelari pecut Australia pernah mencatatkan catatan yang lebih baik berbanding pemegang rekod kebangsaan, Khairul Hafiz (10.18s), iaitu Josh Clarke yang mencatatkan 10.15s pada awal Februari untuk melayakan diri ke Sukan Olimpik Rio dan muncul pelari kelima terpantas dalam sejarah negara itu. – BERNAMA