KLANG – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menaja seramai 430 anak asnaf dalam Program Khatan Perdana anjurannya yang bermula hari ini sehingga 15 Disember depan.
Ketua Operasi LZS Daerah Klang, Saiful Anuar Abdullah Saleh berkata, kanak-kanak yang terpilih untuk berkhatan dalam program berkenaan merupakan anak kepada asnaf yang berdaftar dengan LZS.
“Ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga asnaf, difahamkan kos untuk berkhatan sahaja adalah kira-kira RM130 seorang. Menerusi pogram ini, LZS menaja majlis berkhatan secara tradisonal yang lengkap dengan bersiram dan bersanding.
“Program khatan beramai-ramai ini juga turut mampu mengurangkan rasa takut dan gemuruh anak-anak kecil ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada program berkenaan di Masjid As-Syarif Meru di sini, hari ini.
Program khatan beramai-ramai hari ini disertai seramai 54 anak asnaf dari daerah Klang bersama 120 kanak-kanak dari kariah masjid itu yang berusia empat tahun hingga 13 tahun. – BERNAMA
