SEORANG kanak-kanak berusia 8 tahun maut selepas dihempap remaja lelaki ketika bermain di sebuah pusat permainan Megazone di Gower Street, Pusat Bandar Leicester, England.
Mirror melaporkan, Aryan Patel mengalami kecederaan parah di bahagian dada ketika bertembung dengan remaja yang lebih berusia dan berbadan besar daripadanya.
Aryan dan remaja tersebut dilaporkan bermain permainan laser tag sebelum kedua-duanya bertembung dan menyebabkan remaja itu jatuh ke atasnya.
Mangsa dibawa ke Hospital Leicester Royal Infirmary oleh pasukan paramedik tetapi dilaporkan meninggal dunia kira-kira 35 minit kemudian akibat serangan jantung.
Aryan yang mempunyai penyakit anemia itu di bawa ke tempat permainan tersebut oleh adiknya selepas menjalani rawatan di hospital.
Bagaimanapun, doktor mengesahkan Aryan meninggal dunia bukan disebabkan penyakit yang dialaminya.

Remaja yang tidak dinamakan itu memberitahu, dia ke tempat tersebut bagi meraikan sambutan hari lahir rakannya.
“Saya berlari di satu jambatan dan bertembung dengannya. Dia begitu kecil, saya tidak nampak kerana memegang pistol laser dan kawasan gelap.
“Saya terjatuh di atasnya dan dia menjerit,” katanya yang bangun sejurus selepas kejadian.
Pengurus pusat permainan itu, Kimberley Senkbeil-Newley berkata, sesi permainan yang disertai pelbagai peringkat umur itu digemari pengunjung terutamanya mereka yang datang bersama keluarga.
Namun, terdapat beberapa peraturan yang perlu dipatuhi iaitu berlari dan sentuhan fizikal adalah tidak dibenarkan. – MYNEWSHUB.CC
*Video dibawah sekadar hiasan.

