KANGAR – Kerajaan Perlis akan mengambil tindakan segera untuk menambah baik tadbir urus agensi-agensinya yang mendapat teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
“Saya telah membaca laporan berkenaan dan berterima kasih kepada Ketua Audit Negara (Tan Sri Ambrin Buang) kerana memberi teguran supaya pengurusan dan pentadbiran agensi-agensi di bawah kawalan kerajaan negeri diperkemaskan.
“Pengauditan yang dibuat bertujuan baik. Jadi, kita akan teliti kelemahan agensi-agensi ini sebelum melaksanakan penambahbaikan yang dicadangkan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 dikeluarkan Isnin lepas menegur Jabatan Tanah dan Galian Negeri (PTG), Unit Perumahan dan Kerajaan Tempatan (UPKT), Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs).
Agensi-agensi berkenaan kebanyakannya lemah dalam menguatkuasakan peraturan dan undang-undang bagi membuat kutipan hasil, cukai dan sewa sehingga menyebabkan pendapatan kerajaan negeri merosot.
Menurut laporan itu, kelemahan itu juga berpunca kerana agensi-agensi terbabit tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan gagal melaksanakan tadbir urus korporat yang baik dan berkesan. – BERNAMA
