NAYPYIDAW – Jika bukan kerana diterima menyertai ASEAN bersama-sama Laos pada 1997 lalu, mungkin sehingga hari ini seluruh dunia tidak tahu apa berlaku di Myanmar; yang ketika itu masih bergelut kontroversi penukaran nama daripada asalnya, Burma.
Namun, sejak menganggotai blok serantau Asia tenggara, Myanmar; yang disahkan nama rasminya secara perlembagaan pada 2008, bukan sahaja berubah ibu negara daripada Yangon pindah kepada Naypyidaw pada 2005, malah bertukar dari segi bendera pada 2010.
Hari ini ibu kota berpenduduk seramai 1.5 juta orang; dan kebetulan mengikut konsep Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan Malaysia; sekali lagi menjadi tumpuan dunia, malah jauh lebih besar berbanding ketika ia tuan rumah Sukan SEA ke-27 pada 2013.
Myanmar minggu ini sibuk menjadi hos sidang kemuncak ASEAN ke-25 dan seterusnya persidangan Asia Timur (EAS) ke-9 selepas dunia ‘melihat’ Beijing, China yang baharu sahaja tamat menganjurkan sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-26.
Naypyidaw sepatutnya menjadi tuan rumah sidang ASEAN ke-12 pada 2006 tetapi dibantah kuasa besar dunia terutama Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah ekoran rekod buruk hak asasi manusia yang menyebabkan Filipina terpaksa menjadi hos ‘bidan terjun’.
Bagaimanapun, proses pembaharuan dilakukan pemimpin junta tentera pro-Barat, Thein Sein termasuk membebaskan seteru politiknya, Aung San Suu Kyi pada 2010 menyaksikan Presiden AS, Barack Obama ‘berbesar hati’ sanggup datang ke Myanmar kali ini.
Meskipun ketika ini masih dihantui krisis perkauman minoriti Rohingya Muslim di wilayah Rakhine; sidang ASEAN kali ini menjadi tumpuan apabila dihadiri muka baharu antaranya Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Turut ‘mencuri’ tumpuan pastinya kedatangan Perdana Menteri China, Li Keqiang dan seterunya dari Jepun, Shinzo Abe, selain rakan sejawatan mereka dari Korea Selatan, Rusia, Australia dan New Zealand yang sebelum itu bertemu pada sidang APEC di Beijing.
Antara topik perbincangan utama pastinya isu wabak Ebola yang bukan lagi dianggap masalah benua Afrika tetapi sudah dianggap penyakit bertaraf global selain ancaman militan Negara Islam yang dibimbangi mampu menjejaskan proses damai rantau Asia Barat.
Jika berjaya, sidang kemuncak 20 negara berpengaruh dunia iaitu G20 di Brisbane, Australia yang kebetulan bermula Jumaat ini akan dianggap ujian bagaimana negara maju itu pula mengurus acara antarabangsa berbanding Myanmar yang serba kekurangan. – Agensi


