BUKIT MERTAJAM – Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan lebih 100 warga asing termasuk 77 wanita dalam Op Ikrar di bahagian pulau, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan, pada Khamis dan semalam.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri Fairuz Ismail berkata kesemuanya yang berumur di antara 20 hingga 45 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan diri, bekerja tanpa permit dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Dalam operasi bermulai 10 pagi hingga 6 petang semalam, Jabatan Imigresen menahan 59 warga asing termasuk 30 wanita di kawasan kedai makan, restoran dan kilang di sekitar Bukit Mertajam, Juru, Jawi, Perai, Butterworth dan Simpang Ampat, katanya di sini hari ini.
Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Kemboja, Thailand dan Myanmar.
Sementara itu, Fairuz berkata dalam operasi pada Khamis, pihaknya menahan 57 warga asing termasuk 47 wanita di enam lokasi sekitar Bayan Lepas dan George Town.
Katanya operasi bermula 2 petang itu dijalankan di kilang, pusat beli belah dan kedai makan yang menjadi tumpuan warga asing.
Beliau berkata kesemua 116 warga asing yang ditahan itu dibawa ke pejabat jabatan itu di Seberang Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Juru untuk tindakan lanjut. Tiga majikan warga asing yang ditahan itu turut diarah hadir di pejabat jabatan itu bagi membantu siasatan. – BERNAMA

