ALOR GAJAH – Tiga lelaki, seorang daripadanya bersenjatakan sebilah parang melarikan 29 telefon bimbit bernilai kira-kira RM20,000 dari sebuah kedai menjual alat telekomunikasi di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt A. Asmadi Abd Aziz berkata mereka yang berumur antara 20 dan 30-an itu pada mulanya masuk ke kedai berkenaan menyamar sebagai pelanggan untuk membeli ‘power bank’ dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari.
“Ketika insiden tiada pelanggan di premis berkenaan dan hanya dua pekerja wanita berusia lingkungan 20-an. Seorang daripada suspek tiba-tiba bertindak mengacu parang kepada seorang pekerja dan mengarahkan wanita tersebut supaya mencangkung.
“Suspek seterusnya menggeledah premis sebelum melarikan 29 telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai RM1,100 serta simkad telefon dan bergegas keluar dari kedai tersebut 10 minit kemudian,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata semua suspek kemudian meninggalkan premis tersebut dengan menaiki kereta dipercayai Perodua Viva berwarna hitam namun nombor pendaftarannya tidak diketahui.
A. Asmadi berkata usaha memburu suspek dijalankan berpandukan rakaman kamera litar tertutup kedai telekomunikasi itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun secara berkumpulan dengan menggunakan senjata.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata tujuh individu termasuk seorang wanita turut ditahan kerana memiliki dadah dalam empat serbuan sekitar daerah berkenaan sejak 9 Nov hingga Ahad lepas.
Katanya mereka yang berumur antara 30 dan 58 tahun itu ditahan kerana memiliki dadah jenis heroin kira-kira 127 gram dan lima gram syabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
“Dua motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha 135LC berhubung laporan kehilangan motosikal pada 23 Feb dan 22 Sept lepas turut dirampas,” katanya.
Sementara itu, dalam Op Tapis, seorang penyelia tapak pembinaan ditahan kerana memiliki senapang angin dan satu bekas kecil berisi 55 butir peluru timah di rumahnya di Jalan Ramuan Cina Besar, Masjid Tanah di sini awal pagi tadi.
Beliau berkata dalam kejadian pada 12.45 pagi, lelaki 45 tahun itu mendakwa membeli senjata berkenaan secara online dengan harga RM2,000 pada Februari lepas.
“Suspek mendakwa dia membeli senapang angin tersebut kerana hobi dan menyimpannya sebagai koleksi namun motif sebenar masih disiasat,” katanya. – BERNAMA

