KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan koleksi siri setem terbaharu menampilkan lima rumah ibadat tersohor di Malaysia yang melambangkan kepelbagaian anutan agama di negara ini .
Pos Malaysia dalam kenyataannya berkata koleksi setem itu akan mula dijual pada Isnin ini dengan harga 60 sen setiap satu.
Koleksi setem itu memaparkan imej Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang, Gereja St Francis Xavier di Melaka, Kuil Sri Kandasamy Kovil dan Gurdwara Sahib Shapha di Kuala Lumpur serta Tokong Tong Perak di Perak.
“Set lengkap koleksi siri setem ini dijual pada harga RM73.65 setiap satu manakala Sampul Surat Hari Pertama termasuk risalah percuma dijual pada harga 55 sen setiap satu dan folder dijual pada harga RM6.35 setiap satu,” tambah kenyataan itu.
Antara siri setem yang pernah dikeluarkan Pos Malaysia adalah ‘Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah’ pada 1988 dan ‘Masjid-masjid di Malaysia’ pada 2015. – BERNAMA