SUKAR untuk menghadapi pemergian dan kehilangan orang tersayang. Itu yang dirasai Nurulhidayah Ahmad Zahid, 38 selepas suaminya, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, 44, meninggal dunia pada awal Jun lalu.
Namun, anak sulung Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus tabah menghadapi dugaan hidup dan menjalani kehidupan bersama tiga orang anaknya.
Bagi mengimbau kembali detik indah bersama suami tercinta, Nurul memilih untuk merakamkan sebuah lagu ciptaan komposer terkenal, Datuk M.Nasir selepas dicadangkan rakan artis yang rapat dengannya iaitu Datuk Hattan.

Difahamkan, lirik lagu tersebut ditulis sendiri oleh Nurul dengan dibantu penulis lirik Ad Samad serta akan memulakan rakaman dalam masa terdekat.
Lagu yang berkonsepkan pop rock itu bakal dirakamkan menggunakan live strings, piano, violin dan “bukan mesin“ atas pilihannya sendiri, kerana ini akan lebih memuaskan sebagai seorang penyanyi.
Nurul sebelum ini pernah merakamkan sebuah lagu berjudul Dari Kejauhan ciptaan anggota kumpulan Brothers iaitu Yasin Sulaiman pada tahun 2004.
Pemerhatian di akaun Instagram milik Nurul, mendapati beliau memuat naikkan video ringkas dengan hanya membuat “humming” selama 20 saat kepada melodi lagu M Nasir baru-baru ini.
Nurul jelas menggemari lagu tersebut dan menganggap ianya sebagai impian yang menjadi kenyataan.
Kerjasama di antara Nurul dengan M.Nasir dikuatkan lagi dengan beberapa keping gambar yang dimuat naik dalam akaun Instagramnya baru-baru ini.-MYNEWSHUB.CC
