KUALA TERENGGANU – Seorang nelayan yang hilang sejak Khamis lalu selepas bot gentian kaca yang dinaikinya terbalik di Sungai Pinang, Kemaman, ditemui lemas hari ini.
Mayat Zakari Kasim, 52, dijumpai pada pukul 9.23 pagi tadi kira-kira 50 meter dari lokasi beliau dilaporkan hilang.
Ketua Zon Dua, Bomba dan Penyelamat Terengganu Azmi Ab Rahim berkata mayat mangsa yang berasal dari Kampung Tok Kapor, Binjai itu ditemukan ketika pasukan penyelamat melakukan pencarian di permukaan sungai.
“Mayat mangsa ditemui terapung di tepi sungai oleh pasukan mencari dan orang kampung yang sejak dari awal pagi lagi sudah mula turun untuk melakukan pencarian,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.
Menurutnya operasi yang bermula sejak Khamis lalu itu tertumpu kepada kawasan pencarian sejauh tiga kilometer di sepanjang sungai tersebut dengan dibantu 50 orang yang terdiri daripada anggota bomba dan penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan orang kampung. – BERNAMA

