PUTRAJAYA – Presiden Filipina Rodrigo Duterte, yang tiba di sini semalam untuk lawatan dua hari di Malaysia, diberikan sambutan rasmi di Perdana Putra di sini, hari ini.
Ketibaan Duterte di dataran itu pada kira-kira 4.30 petang disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan disusuli dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Presiden Filipina itu kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat terdiri daripada 103 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Duterte, dengan diiringi Najib, selepas itu diperkenalkan kepada kalangan menteri kabinet, pegawai kanan kerajaan dan diplomat asing yang hadir.
Najib dan Duterte kemudiannya mengadakan perbincangan.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, Duterte dijadual mengadakan perbincangan dengan Najib mengenai perkembangan kerjasama dua hala yang terjalin antara Malaysia dan Filipina.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kebimbangan bersama.
Kementerian Luar menyatakan lawatan itu akan menyediakan peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk mencari jalan bagi memperkukuhkan lagi kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara.
Malaysia dan Filipina mempunyai hubungan mesra serta bekerjasama rapat dalam pelbagai isu kepentingan bersama di peringkat antarabangsa.
Jumlah dagangan antara Malaysia dan Filipina dalam lapan bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak 5.4 peratus kepada RM13.15 bilion (US$3.22 bilion) daripada RM12.48 bilion (US$3.36 bilion) bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun lepas.
Tahun lepas, Filipina merupakan rakan perdagangan kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN, dan ke-10 terbesar di peringkat global.
Ini merupakan lawatan sulung Duterte ke Malaysia selepas dilantik sebagai Presiden Filipina ke-16 pada 30 Jun. – BERNAMA