KUALA TERENGGANU – Seorang nelayan dikhutiri lemas selepas bot gentian kaca miliknya ditemui terbalik di Sungai Pinang, Kemaman hari ini.
Zakari Kassim, 52, dari Kampung Tok Kapor, Binjai dipercayai keluar rumahnya pada 3 pagi tadi untuk menahan taut di sungai berkenaan namun, botnya ditemui dalam keadaan terbalik oleh rakannya kira-kira 8.15 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai Yahaya Hanafi berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan dengan kekuatan 16 anggota bomba, 10 pegawai dan anggota polis, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dibantu 14 nelayan sungai.
Beliau berkata usaha mencari dan menyelamat di permukaan sungai dilakukan menggunakan sebuah bot bomba dan sebuah bot polis bermula 10.40 pagi dengan dibantu beberapa bot fiber milik nelayan sekitar kawasan itu.
“Operasi itu juga melibatkan lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) tetapi kita tak dapat lakukan selaman sebab keadaan arus laju dan kedalaman air kira-kira 10 meter sekitar muka sauk,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. – BERNAMA

