GEORGE TOWN – Gerakan Pulau Pinang membidas kerajaan negeri pimpinan DAP kerana menyalahkan kelewatan pelaksanaan projek tebatan Sungai Pinang sebagai punca utama banjir di negeri ini.
Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Bukit Bendera Khaw Poh Chung berkata bahagian lain di negeri ini tidak mempunyai kaitan langsung dengan Sungai Pinang.
“Teluk Bahang, Batu Maung, Sungai Nibong dan tanah besar tidak langsung berkaitan dengan Sungai Pinang.
“Oleh itu, mengapa kerajaan negeri hanya memberi tumpuan kepada projek tebatan Sungai Pinang,” soalnya pada sidang berita di sini, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang berkata banjir yang berlaku di negeri ini terutamanya di sekitar George Town berpunca daripada penangguhan kerja-kerja tebatan di Sungai Pinang.
Ketika sambutan Deepavali pad 29 Okt, bandar raya ini dilanda banjir menyebabkan banyak rumah terjejas dan berlakunya kesesakan lalu lintas selama beberapa jam.
Sejak itu, beberapa kawasan termasuk Jalan P.Ramlee dilanda banjir lebih daripada tiga kali dan semalam, banjir berlaku lagi menyebabkan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Abdullah Munshi terpaksa meredah air untuk menduduki peperiksaan itu.
Apa yang memburukkan keadaan adalah hujan berterusan menyebabkan lapan kampung di Teluk Bahang dilanda banjir, diikuti insiden tanah runtuh dan jalan raya mendap di Teluk Bahang yang mengakibatkan lalu lintas ditutup.
Selain Teluk Bahang, sebahagian daripada Bandar Baru Air Itam, Jalan Masjid Negeri dan Paya Terubong di pulau itu turut dilanda banjir. – BERNAMA

