GEORGE TOWN – Selepas tamat saingan Liga Super 2016, secara automatik perjanjian antara Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) dan Pengarah Urusannya Bojan Hodak, Ketua Jurulatih Nenad Bacina serta dua pemain import, Ranti Martins dan Jeong Seok Min dijangka berakhir.
Sumber rapat FAP berkata pasukan itu bakal mengambil jurulatih tempatan bagi menggantikan Bacina, manakala kontrak kedua-dua pemain import itu kemungkinan besar tidak disambung.
“Kami masih dalam perbincangan dan soal siapa yang akan mengambil tampuk jurulatih, biarlah rahsia buat masa ini…yang penting ia jurulatih tempatan. Kami akan adakan satu sidang akhbar khas selepas semuanya selesai,” katanya.
Ranti dan Seok Min dibawa masuk untuk membantu mengharungi cabaran Liga Super musim ini, namun kedua mereka hanya mempamerkan prestasi baik di awal musim, dan jatuh merudum terutamanya Ranti selepas perlawanan keempat mereka menentang Perak.
Bagi Hodak pula, kedudukannya masih menjadi tanda tanya sama ada akan terus bersama pasukan Harimau Kumbang ataupun tidak.
Hodak ketika dihubungi enggan mengulas mengenai statusnya meskipun terdahulu beliau berkata akan kekal sekiranya khidmatnya masih diperlukan.
“Saya tidak boleh berkata apa-apa sekarang. Hubungi saya semula pada Khamis atau Jumaat, baru saya boleh berikan komen,” katanya.
FAP juga akan mengadakan satu rombakan secara besar-besaran dengan hampir separuh daripada skuad Harimau Kumbang akan digugurkan dan langkah itu bagi memantapkan lagi pasukan berkenaan pada kempen Liga Super musim depan.
“Penilaian bagi setiap pemain sedang dijalankan dan pemain yang berkualiti serta mempunyai prestasi yang konsisten dan memberangsangkan sahaja akan dikekalkan,” kata sumber tersebut.
Antara nama disebut-sebut untuk digugurkan daripada pasukan ialah penjaring gol yang menarik perhatian dunia, Faiz Subri yang dilihat gagal mempamerkan aksi konsisten pada perlawanan-perlawanan lepas dan hanya diturunkan sebagai pemain gantian. – BERNAMA