JOHOR BAHRU – Malaysia berjaya mengelak kedudukan tercorot pada kejuaraan hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2016 apabila mengalahkan New Zealand 4-1 untuk menduduki tempat kelima di Stadium Hoki Taman Daya di sini, hari ini.
Pada perlawanan penentuan tempat, Malaysia mengulangi kejayaan ke atas New Zealand selepas kemenangan 2-1 pada aksi terakhir peringkat pusingan awal semalam.
Pada saingan hari ini, Malaysia membuka jaringan seawal minit keenam hasil pukulan sudut penalti oleh Muhammad Najmi Farizal Jazlan sebelum Mohamad Zulhamizan Awang Abas menggandakan jaringan menerusi gol padang pada minit ke-10.
Kecuaian benteng pertahanan negara mengundang padah pada pasukan negara apabila pasukan pelawat berjaya merapatkan kedudukan 1-2 menerusi gol padang yang dihasilkan oleh Mac Wilcox pada minit ke-32.
Bersambung pada babak kedua, Malaysia menambah gol menerusi gol padang yang dihasilkan Muhammad Firdaus Fauzi pada minit ke-51 sebelum Mohamad Ashran Hamsani mengesahkan kemenangan hasil gol padang pada minit ke-69.
Sebagai rekod Malaysia pernah dinobatkan sebagai juara SOJC pada edisi pertama 2011 dan naib juara pada tahun 2013 sebelum mula menunjukkan kemerosotan iaitu tempat tercorot pada 2012, tempat keempat pada 2014 dan tempat ketiga pada edisi tahun lepas.
Sementara itu, jurulatih skuad remaja kebangsaan, Wallace Tan berkata beliau kecewa pasukannya gagal memperbaiki pencapaian tempat ketiga pada edisi lepas.
Katanya kejohanan antarabangsa bawah 21 tahun itu merupakan pendedahan baik kepada semua pemain dan beliau akan berusaha memantapkan pasukan itu di bawah program pembangunan yang sedia ada. – BERNAMA
