KUCHING – Tragedi kebakaran di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru perlu dijadikan iktibar, kata Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak Datuk Dr Jerip Susil.
Beliau berkata, kebakaran di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada Selasa harus diberi perhatian sekali gus memastikan bahawa pengawasan berterusan dilaksanakan terhadap kemudahan dan peralatan di hospital agar berada dalam keadaan baik.
“Semua hospital di Sarawak diminta peka dalam memastikan kemudahan dan kelengkapan peralatan hospital seperti peralatan pemasangan oksigen dan punca-punca elektrik sentiasa dipantau agar terhindar daripada sebarang insiden”.
“Kami juga memastikan kemudahan yang ada khususnya di unit rawatan rapi, bilik pembedahan dan jabatan kecemasan, supaya kesemua jabatan ini mempunyai kelengkapan peralatan yang selamat untuk digunakan,” katanya.
Jerip, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Mambong, berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi Tadika dan Taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kawasan Mambong di sini, hari ini.
Menurut Jerip, kemudahan naik taraf hospital-hospital di Sarawak dijalankan mengikut jumlah dana yang ada.
Menyentuh mengenai persediaan dan keupayaan hospital di negeri ini, beliau berkata Hospital Umum Sarawak telah mengadakan latihan kebakaran bersama-sama pihak pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi menghadapi sebarang kemungkinan di sini, hari ini.
“Ini juga merupakan inisiatif bagi memastikan perkakasan dan kemudahan hospital berada dalam keadaan baik,” katanya. – BERNAMA

