SEORANGÂ lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, George Town, pagi tadi.
Kejadian tersebut disedari kira-kira jam 8.30 pagi selepas motosikal dan telefon bimbit mangsa ditemui di jambatan tersebut oleh pengguna.
Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Shukri Saad, 39, dipercayai terjun di kilometer 11.3 jambatan berkenaan arah Batu Maung, Pulau Pinang.

Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap dengan dibantu Pasukan Polis Marin Wilayah Satu yang membuat pencarian di laut.
Difahamkan, lelaki tersebut tertekan selepas dipanggil ke Mahkamah Majistret Butterworth bagi perbicaraan kes di bawah Akta Kastam 1967, membabitkan penjualan rokok murah (seludup) dengan nilai rampasan RM160 pada tahun 2012.
Kes berkenaan merupakan kesalahan pertamanya yang sepatutnya dibicarakan pada Isnin lalu tetapi ditunda ke hari Selasa.
Mangsa yang dipercayai bekerja sebagai peniaga dikatakan ada memuat naik status dalam laman sosialnya dan menceritakan sebab dan masalah yang melanda dirinya sebelum berniat untuk ‘mencabut’ nyawanya sendiri.
Dalam status berkenaan, mangsa mendakwa dia terpaksa berhutang dengan rakan bagi membayar wang jaminan sebanyak RM3,000 dan terbaru dia bakal berdepan dengan denda RM4,000 atau empat bulan penjara.
Susulan tidak mahu ke mahkamah dan tidak mahu dua anak dan isterinya menanggung malu kerana dia bakal dimasukkan ke penjara, lelaki tersebut mengambil keputusan untuk ‘berkorban’.
“Ku tak sanggup lagi menyusahkan orang dengan meminjam duit…mula ku pilih untuk dipenjara tapi terkenangkan anak nanti digelar anak banduan….ya Allah ampuni dosaku ya Allah….ku tahu kau memahami dan maha mengampunkan,” tulis status yang dipercayai milik mangsa.
Bagaimanapun, pemerhatian mendapati status berkenaan tiada lagi dalam Facebook mangsa dan ianya menjadi viral di laman sosial. – MYNEWSHUB.CC
*Video sekadar hiasan.

