JOHOR BAHRU – Selepas 24 jam tragedi yang menggemparkan seluruh negara dengan meragut nyawa enam pesakit, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini sekali lagi gempar dengan kebakaran.
Kali ini insiden tersebut melibatkan sebuah dewan bedah di tingkat satu bangunan induk hospital berkenaan dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.38 tengah hari Rabu, menurut laporan beberapa portal berita tempatan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh ketika ditemui pemberita mengesahkan tiada kemalangan jiwa malah tiada letupan dikesan sebaliknya menjelaskan ia hanya percikan api.
Sambil meminta masyarakat termasuk netizen media sosial agar tidak membuat sebarang spekulasi liar, beliau menyatakan bangunan utama telah dikosongkan dan semua bekalan elektrik dimatikan sebagai langkah waspada.
Suasana panik bermula apabila loceng penggera kecemasan berbunyi secara tiba-tiba dan beberapa saksi kejadian mendakwa ada melihat kepulan asap berbau hangit keluar daripada kawasan bilik pembedahan berkenaan.




Jentera pasukan bomba dan penyelamat dilihat bergegas memasuki kawasan tersebut untuk memadamkan api manakala setakat ini punca kebakaran dipercayai akibat daripada percikan pada soket elektrik yang basah.
Kebakaran hari ini dikatakan bermula dari dewan pembedahan yang terletak di wad kecemasan dan trauma. Bagaimanapun keadaan dilaporkan adalah terkawal dan pihak polis turut memantau keadaan semasa.
Dalam pada itu, agensi berita rasmi Bernama pula melaporkan, semua petugas dan pesakit yang berada di dalam bangunan induk HSA telah pun diarahkan keluar ke kawasan selamat ditetapkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Difahamkan semasa kejadian, secara kebetulan hanya ada beberapa pesakit dan kakitangan HSA dalam bilik berkenaan namun situasi kembali seperti sedia kala selepas pemeriksaan bomba mendapati bangunan selamat.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Johor, Othman Abdullah dalam kenyataan rasmi menerusi Twitter juga mengesahkan hanya berlaku percikan di tingkat satu di bawah wad unit rawatan rapi (ICU) yang terbakar semalam.
“Perkara tersebut berlaku hasil daripada air yang mengalir semasa proses pembersihan kawasan wad ICU berkenaan dan kebetulan mengenai salah satu soket plug elektrik,” jelas beliau lagi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

