KEPALA BATAS – Industri penternakan ikan dalam sangkar telah diusahakan dari dahulu lagi dan kini Jabatan Perikanan dalam usaha mempromosi dan mengembangkan industri itu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata pihaknya menggalakkan industri itu kerana mahu meningkatkan nisbah antara akuakultur dan marin bagi memastikan tiada kekurangan bekalan makanan.
“Kita mahu mempunyai nisbah 50:50 dan bukan sekarang 20:80…20 bagi akuakultur dan 80 bagi marin, ia tidak baik…ia tidak baik untuk bergantung dengan marin, kalau musim tengkujuh, musim itu, musim ini nelayan tak boleh pergi ke laut.
“Kita telah mula lama dahulu semasa dia (Lim Guan Eng) masih sekolah. Projek yang telah dibuat oleh Jabatan Perikanan sudah lama dahulu dan sekarang kita sedang mengembangkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Karnival Keusahawanan Peladang, Jalinan Tani dan pengisytiharan kluster cemerlang Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) negeri Pulau Pinang oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bahawa industri yang mampu mendatangkan hasil berbilion ringgit itu dimulakan di bawah pentadbiran berprinsipkan Cekap, Amanah dan Telus (CAT) kerajaan negeri pimpinan DAP pada 2008.
Tajuddin berkata pihaknya menyasarkan nisbah 50 akuakultur:50 marin itu akan dicapai menjelang tahun 2020. – BERNAMA

