ALEPPO – Pertempuran dan ofensif-ofensif udara menggegarkan bandar Aleppo di Syria semalam, mengorbankan tiga orang awam.
Pertempuran sengit kembali marak di bandar itu setelah berakhirnya gencatan senjata selama tiga hari yang diisytiharkan sekutu Syria, Rusia.
Gencatan senjata sepihak itu berakhir tanpa sebarang operasi pemindahan dijalankan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang diharap dapat membawa keluar orang awam yang cedera daripada bahagian timur yang dikuasai pemberontak dan mengirimkan bantuan selepas berminggu-minggu pasukan pemerintah melancarkan ofensif dan kepungan selama tiga bulan.
Seorang wartawan AFP di timur Aleppo melaporkan ofensif-ofensif udara kembali dilancarkan terhadap kejiranan-kejiranan yang dikuasai pemerintah semalam.
Kumpulan hak asasi Syrian Observatory for Human Rights menyatakan ofensif-ofensif dan bedilan meriam melanda daerah-daerah timur menyusuli pertempuran sengit di garisan depan yang memisahkan bahagian barat pemerintah dengan bahagian timur.
Kumpulan berpangkalan di Britain itu menyatakan sekurang-kurangnya tiga orang awam terbunuh termasuk seorang wanita dan kanak-kanak dalam ofensif-ofensif roket yang menyasarkan sebuah kawasan yang dikuasai pemberontak, dan memberi amaran bahawa dengan beberapa orang cedera, angka korban boleh meningkat.
Lewat kelmarin, kumpulan Observatory melaporkan ofensif-ofensif udara pertama sejak Moscow mengumumkan ofensif tentera Syria yang disokong Rusia untuk menawan semula timur bandar itu dihentikan buat sementara.
Sekurang-kurangnya tiga orang cedera akibat bedilan meriam di bahagian timur, sementara pihak pemberontak melepaskan roket dan bedilan meriam ke arah sebuah kejiranan yang dikuasai pemerintah.
Pasukan-pasukan pemerintah dan para pejuang sekutu, sementara itu, sudah mara ke pinggir selatan Aleppo, menurut Observatory, merampas wilayah yang menghadap awasan-kawasan yang dikuasai pemberontak.
Gencatan senjata itu sebenarnya berniat mahu membolehkan orang awam dan para pemberontak meninggalkan kawasan timur.
Tentera Syria membuka lapan koridor pemindahan, namun hanya segelintir orang awam dilaporkan sudah melintasi mana-mana koridor itu.
Para pegawai Rusia dan media negara Syria menuduh para pemberontak menyekat orang ramai daripada meninggalkan tempat itu dan menggunakan orang awam sebagai ‘perisai manusia’.
Hampir 500 orang sudah terbunuh dan lebih 2,000 cedera sejak tentera Syria melancarkan operasi untuk menguasai semula timur Aleppo pada 22 September.
PBB mulanya berharap dapat menggunakan gencatan senjata itu untuk memindahkan mereka yang cedera parah dan mengirimkan bantuan.
Namun, seorang pegawai PBB kelmarin menyatakan jaminan keselamatan sekali lagi tidak diterima. – AFP

