CAMERON HIGHLANDS – Lokasi pencarian sepasang warga Indonesia yang dipercayai tertimbus runtuhan tanah di kebun sayur Sungai Kabok di Lembah Bertam di sini, merupakan kawasan berisiko tinggi.
Pegawai Operasi Bahagian Operasi dan Menyelamat Bomba negeri, Penguasa Bomba Alimuddin Bukri berkata misi mencari sukar serta berbahaya kerana kawasan operasi itu mempunyai kecerunan antara 70 hingga 80 darjah.
“Sekiranya berlaku pergerakan tanah dan terjadi apa-apa kepada pokok-pokok pisang berkenaan, maka nyawa anggota berada di dalam bahaya memandangkan kecerunan lokasi sangat curam.
“Selain itu, kawasan tersebut tidak memerima liputan komunikasi, menyukarkan pasukan bomba untuk membuat sebarang bentuk perhubungan sekiranya berlaku sesuatu,” katanya ketika ditemui di sini Khamis.
Menurut Alimuddin jarak perjalanan antara jalan raya ke lokasi kejadian memakan masa satu setengah jam.
Katanya, keadaan bertambah buruk berikutan satu-satunya jambatan yang menghubungkan jalan ke kebun berkenaan roboh dibawa arus deras dan pasukan penyelamat hanya boleh sampai ke lokasi dengan mendaki bukit.
“Masa yang lama diambil untuk sampai ke lokasi kerana kami membawa kelengkapan menyelamat. Sekiranya tanpa kelengkapan, hanya 45 minit diperlukan untuk tiba,” jelas beliau.
Alimuddin juga berkata, pergerakan tanah menjadi punca misi menyelamat semakin sukar.
Katanya situasi itu menyebabkan kedudukan lokasi tidak stabil dan boleh mengundang bahaya kepada anggota misi.
“Oleh sebab itu, pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba akan membantu misi pencarian esok. Unit berkenaan ditugaskan mengenal pasti lokasi tumpuan pencarian,” ujar beliau. – BERNAMA

