KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa melepaskan air secara bertahap kerana paras air di Empangan Sultan Abu Bakar Cameron Highlands, Pahang mencecah tahap kritikal dalam masa yang singkat akibat hujan lebat semalam.
Pengurus Besar Stesen-stesen Janaelektrik TNB Cameron Highlands, Ir. Mohd. Zaki Jalaluddin berkata, hujan lebat luar biasa itu menyebabkan banjir kilat di Ringlet yang membawa bebanan sampah ke Tasik Ringlet menyebabkan paras tasik Ringlet mencecah tujuh kaki hanya dalam tempoh sejam
“Kenaikan air ini adalah jauh lebih tinggi berbanding paras tiga kaki sejam ketika kejadian banjir lumpur tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Zaki berkata, TNB membunyikan siren di Lembah Bertam pukul 8.15 malam semalam untuk arahan perpindahan penduduk apabila paras air berada pada 3507.4 kaki dan siren di Empangan Sultan Abu Bakar pula dibunyikan pukul 8.40 malam.
Bagaimanapun, katanya, TNB telah memaklumkan kepada pihak keselamatan, pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung Lembah Bertam sebelum air dari empangan terbabit dilepaskan pada aras 3,510 kaki.
“Pelepasan air ini dibuat setelah mendapat maklum balas daripada Balai Polis Ringlet bahawa pengungsian telah selesai dan pelepasan air boleh dilaksanakan
“Kami bersyukur kerana pengungsian berjalan dengan lancar hasil daripada latihan yang dilaksanakan dalam tempoh setahun ini,†katanya.
Beliau memaklumkan, ramalan hujan menyatakan hujan akan turun selama beberapa hari lagi maka air empangan terpaksa terus dilepaskan sehingga ia turun ke paras selamat.
Justeru, beliau, menasihatkan penduduk di kawasanterlibat supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan dalam situasi itu.
Media semalam melaporkan penduduk di tebing Sungai Bertam diarahkan berpindah mulai petang semalam apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat akibat hujan lebat.
Terdahulu, hujan lebat selama sejam petang semalam menyebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh, mengakibatkan seorang pekerja ladang warganegara Nepal berusia 47 tahun maut apabila rumah kongsinya ditimbus tanah di Ulu Merah.
Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun pula dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus deras di Sungai Telom, Kuala Terla. – mynewshub.cc

