KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini menetapkan 10 Nov untuk sebutan kes seorang pemilik bengkel kereta yang didakwa memberi sokongan kepada kegiatan pengganas melibatkan penggunaan bahan letupan.
Majistret Mohamad Izwan Mohamed Nor menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memaklumkan pihak pendakwaan belum menerima izin untuk memindahkan kes Nur Redzwan Wan Redzmann, 29, ke Mahkamah Tinggi.
Terdahulu sebelum prosiding bermula, suasana hiba menyelubungi mahkamah apabila Nur Redzwan yang memakai kemeja-T berwarna merah dikerumuni kira-kira 13 anggota keluarganya serta saling berpelukan dan menangis.
Pada 10 Ogos lalu, tertuduh yang diwakili peguam Ram Karpal Singh didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan.
Perbuatan itu dilakukan dengan niat melanjutkan satu perjuangan ideologi dan perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram di dalam telefon bimbit jenis Iphone 5s miliknya.
Bagi pertuduhan kedua dia didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Islamic State (IS) dan kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukannya di No 7, Jalan Watan 24, Taman Sri Watan, Ampang, di sini di antara 25 Mac hingga 30 Jun lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(b) dan Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang kedua-duanya memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun, atau denda dan bolehlah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

