SHAH ALAM – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersedia untuk meminda Akta Perikanan 1985 bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap nelayan asing yang menceroboh perairan negara.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata perkara itu perlu diteliti memandangkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada untuk melindungi industri perikanan negara diilhat agak lemah.
Kami bersedia bersedia menyemak dan meneliti akta tersebut termasuk menambah hukuman kepada nelayan asing yang merompak hasil laut negara, katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Kelulut Walk’ sempena Hari Sukan Negara di Taman Botani, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kelemahan penguatkuasaan undang-undang sehingga menyebabkan operasi membanteras pencerobohan nelayan asing di perairan negara dilihat tidak berkesan.
Ia susulan dakwaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berhubung empat kes kapal asing yang ditahan di Laut China Selatan hanya dikenakan kompaun sebanyak 2,000 dan jumlah kompuan itu tidak berbaloi berbanding kos operasi agensi tersebut.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery meminta penggemar dan penternak madu kelulut supaya menyokong usaha kementerian dalam menjenamakan madu itu sebagai makanan super Malaysia di peringkat antarabangsa pada tahun hadapan.
Katanya madu jenis ini mendapat permintaan tinggi dari dalam dan luar negara tetapi negara masih belum mampu memenuhi permintaan tersebut.
“Ini cabarannya untuk kita mengeluarkan madu itu mengikut piawaian dan pengawalan mutu yang tertentu,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Shabery menyempurnakan pelepasan Sabri Ali, 54, sebagai Duta Madu Kelulut yang akan mempromosi khasiat produk itu di seluruh negara dengan berjalan kaki.
Kempen ‘Kelulut Walk’ yang bermula hari ini meliputi perjalanan sejauh 2,000 kilometer selama 50 hari, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Perjalanan itu merupakan kali ketiga untuk Sabri, anak jati Kemaman, Terengganu, selepas melakukan perjalanan sejauh 1,800km dalam tempoh 40 hari pada 2014, dan 1,600km selama 35 hari pada tahun lepas. – BERNAMA