PERKONGSIAN seorang wanita yang dikenali sebagai Shazreen Syafiqa menerusi akaun Facebook semalam mendapat kritikan selepas memuat naik gambar bayi untuk dijadikan anak angkat.
Ia menyentuh sensitiviti apabila perkongsian wanita itu dianggap sebagai pemerdagangan manusia kerana menawarkan bayi kepada orang ramai yang sanggup bayar bil hospital yang ditanggung ibu bayi tersebut.
Dalam posting berkenaan, Shazreen menulis mengenai bayi perempuan yang baru dilahirkan itu memerlukan perlindungan yang baik.
“Baby ini perlu perlindungan yang baik, baby perempuan baru lahir. Siapa yang berhajat nak ambil anak angkat, boleh PM ika nanti bagi nombor nurse,” katanya.
Menurutnya, bayi tersebut akan dijadikan anak angkat kepada pasangan yang menjelaskan  bil hospital.
Bagaimanapun, tidak didedahkan kos perubatan yang ditanggung oleh ibu bayi berkenaan.
Pengasas sebuah produk kecantikan itu turut menyatakan, bayi perempuan berkenaan dilahirkan di Hospital Kajang, Selangor dan orang ramai yang berhajat untuk menjadikan bayi itu sebagai anak angkat boleh menghubungi jururawat di hospital tersebut.
Pemerhatian Mynewshub mendapati posting berkenaan sudah dipadam selepas dikecam hebat netizen kerana niatnya telah disalah ertikan.
Dalam postingnya hari ini, Shazreen menjelaskan niatnya hanya untuk membantu pasangan yang sudah lama berkahwin dan inginkan bayi untuk dijadikan anak angkat.
“Tujuan ika post dekat FB, sebab ika tau banyak orang yang layak. Banyak pasangan yang berkahwin hampir atas 6 tahun ke atas tengah mencari anak angkat.
“Tapi bila niat disalah erti, katanya memperdagangkan manusia dan boleh dikenakan tindakan. Allah, luluh hati,” katanya.
Selepas posting berkenaan, dia ‘dihujani’ dengan pertanyaan melalui aplikasi WhatsApp yang rata-ratanya mahukan bayi perempuan tersebut untuk dijadikan anak angkat.
Menurutnya, ada antara pasangan yang menghubunginya itu sudah lebih enam hingga 10 tahun berkahwin tetapi masih belum dikurniakan cahaya mata.
Shazreen menegaskan, mereka yang ingin mendapatkan anak angkat ini perlu mematuhi prosedur termasuk di peringkat hospital dan ianya bukanlah sesuatu yang mudah.
“Ingat senang pihak hospital nak bagi, mestila ada prosedur. Ingat boleh amik gitu-gitu je, sebelum nak menegur tolong fikir perasaan orang sama,” katanya.
Menurutnya, bayi perempuan berkenaan sudah berada di bawah penjagaan individu yang tidak didedahkan namanya. – MYNEWSHUB.CC

