
LONDON – Romeo Beckham, anak teruna kedua bintang legenda bola sepak Inggeris, David dan artis sensasi, Victoria, mencuri tumpuan ramai pihak apabila muncul pada kempen pelancaran terbaharu jenama terkenal Burberry sempena perayaan Krismas di sini kelmarin.
Remaja berusia 12 tahun itu dilaporkan mampu mengurus dirinya sendiri seumpama seorang professional pada majlis fesyen tersebut yang sebenarnya bersesuaian tema pengiklanan ‘From London With Love’ dengan penampilan aksi ramai model anak muda.
Kedua-dua ibu bapa Romeo turut hadir memberi sokongan. Pasangan selebriti ternama itu mempunyai tiga anak lelaki iaitu Brooklyn Joseph (15 tahun), Romeo James (12 tahun), Cruz David (9 tahun) dan paling bongsu, seorang anak perempuan, Harper Seven (3 tahun).
Ketua pegawai kreatif Burberry, Christopher Bailey berkata, keputusan untuk mengambil ramai model muda adalah sempena strategi terkini jenama tersebut malah Romeo sebenarnya pernah menjadi model Burberry ketika berumur 10 tahun lagi.
Namun, tindakan Burberry itu turut mendapat kritikan pelbagai pihak antaranya model terkenal, David Gandy yang secara sinis dilaporkan mendakwa, keluarga Beckham sekali lagi menjadi penyelamat kepada imej jenama Burberry yang kurang menyerlah. – Agensi