KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjadikan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai syarat wajib untuk premis perniagaan berbentuk hiburan mendapatkan lesen perniagaan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata pendekatan baharu itu adalah inisiatif untuk meningkatkan tahap keselamatan di samping mengurangkan kadar jenayah memandangkan rakaman CCTV boleh dijadikan bahan bukti dalam membantu siasatan polis.
“Perkara ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan akan dirujuk kepada Jabatan Pelesenan dan Pengurusan Penjaja DBKL terlebih dahulu.
“Premis sebegini (pusat hiburan) beroperasi pada waktu malam dan lebih berisiko namun bagi premis tidak berisiko juga kita sarankan pasang kerana ia mampu mencegah kes rompakan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mhd. Amin berkata walaupun DBKL telah memasang kira-kira 1,000 CCTV di sekitar Kuala Lumpur dan 300 daripadanya disambungkan terus kepada polis, ia tidak mencukupi memandangkan CCTV dipasang di jalan-jalan utama, bukannya di premis.
Terdahulu, Mhd. Amin hadir pada majlis penyerahan payung terjun yang memaparkan logo Visit KL bagi acara KL Tower International Jump Malaysia (KLTIJM) 2016.
Katanya acara tahunan anjuran bersama Menara Kuala Lumpur yang bermula esok hingga 3 Okt itu mampu meningkatkan profil Kuala Lumpur sebagai destinasi utama acara sukan antarabangsa yang menarik dan menjadi pilihan ramai. – BERNAMA

