JOHOR BAHRU – Polis semalam menahan dua lelaki, masing-masing rakyat tempatan dan warga Indonesia serta merampas lapan kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata penahanan kedua-dua suspek berumur 23 dan 35 tahun itu dilakukan di Perairan Kukup, dua kilometer dari persisiran pantai Pontian pada pukul 4.15 petang.
Katanya, kejayaan itu hasil tindakan pantas anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 yang menyedari kehadiran sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan ketika membuat rondaan Op Gelora.
Tambahnya, apabila diperiksa, polis menemukan sejumlah lapan bungkusan dadah yang diletakkan di dalam ruang hadapan bot.
“Dadah ini kita temui di ruang terbuka, jadi kita tidak menolak kemungkinan adanya aktiviti pengedaran dadah merentas sempadan di atas laut,” katanya ketika ditemui dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Kata Wan Ahmad Najmuddin, berdasarkan siasatan awal, seorang daripada suspek bekerja sebagai pekerja pub di bandar raya ini manakala seorang lagi ialah abang ipar kepada suspek pertama, yang tinggal di Batam, Indonesia.
Polis juga percaya dadah itu adalah untuk pasaran Indonesia kerana ketika ditahan, kedua-dua suspek dikatakan sedang menunggu seseorang untuk mengambil dadah berkenaan untuk diseludup keluar.
Kedua-dua suspek kini sedang direman selama tujuh hari untuk siasatan terperinci bagi mengenal pasti, sekiranya terdapat wujud sindiket bagi aktiviti berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung mandatori. – BERNAMA
