UNDIAN popular yang dijalankan Berita Harian Online menyenaraikan tiga tokoh nasional sebagai calon utama.
Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menduduki tangga teratas undi popular dengan 53 peratus undian. CEO Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes di tangga kedua dengan 39 peratus undi dan CEO Pemandu Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Idris Jala di kedudukan ketiga dengan lapan peratus undi.
Realisitiknya Idris Jala tidak mungkin menerima pencalonan ini. Idris perlu komited dan fokus di Pemandu kerana peranannya sebagai ‘master mind’ yang menyusun banyak pelan taktikal dalam perhitungan ekonomi dan pelaksanaan pelan pertadbiran kerajaan dalam pelaksanaan pelbagai projek kritikal.
Tony dilihat realistik kerana pengalaman yang teruji kerana sudah lima musim menguruskan kelab Liga Inggeris Queen Park Rangers. Malah, pengalaman korporat Tony termasuk reputasi pengurusan yang dimiliki dalam bolasepak dan sukan automobil F1, menjadikan Tony calon model pembangunan dsn perniagaan sukan paling top dalam senarai.
Tetapi TMJ dilihat calon paling rapat dengan bola sepak tempatan. Reputasi memimpin pasukan Johor dan tiga kali berturut-turut menguasai Liga Super serta mencipta sejarah membawa Johor menjuarai Piala Kelab Asia, satu rekod terbaik dalam sejarah bola sepak moden di negara ini.
Malah, TMJ popular di kalangan anak muda yang menjadi aset komersil utama sukan bola sepak melalui komitmen tiket dan segmen strategik untuk memikat penaja. Malah, TMJ ada rekod cemerlang di peringkat domestik.
Namun masalah utama bukan isu amtara tiga nama popular ini, siapa bakal Presiden FAM?
Seorang daripada tiga nama ini sekiranya terpilih pasti mampu mencipta pembaharuan. Soalan utama, dalam pemilihan, siapa calon-calon lain yang akan menyertai pasukan bakal presiden baharu untuk mencipta reformasi barisan pengurusan dalam FAM.
Nak maju Presiden tidak boleh bersendirian. Presiden baharu tidak akan mampu bekerja dengan barisan kepimpinan lama yang nampak sudah basi, tepu dan buta strategi.
Kalau nak letak presiden baharu, jawatan dalam keseluruhan kepimpinan FAM mestilah muka baharu.
Pasukan pengurusan sedia ada tidak akan mampu bekerjasama dengan presiden terutama TMJ. Bola sepak Malaysia sudah punah-ranah di tangan kepimpinan lama. Pembaharuan mestilah 100 peratus.
Persoalannya: Apakah kepimpinan persatuan bolasepak di negeri-negeri akan memberi laluan kepada pembaharuan seluruh pasukan pengurusan FAM. Tukar nombor 1, dengan mengekalkan lain-lain muka lama bakal mencipta bencana. Tokoh muda seperti TMJ memerlukan kumpulan pengurusan yang segar; terbuka pada idea baharu, kompetitif dan bermentaliti bolasepak moden.
Apalagi kalau mahu mengkorporatkan model komersil FAM supaya pengurusan baharu juga mampu menjana kewangan yang lebih relatif korporat. Seorang presiden dengan idea baharu, tidak akan boleh bekerjasama dengan pasukan pengurusan sedia ada. Apa lagi TMJ yang memang secara terbuka sudah melahirkan sikap anti pengurusan sedia ada.
Tony pula berideakan Liga Inggeris. Pasti lebih kompleks dan mahukan pasukan pengurusannya bervisi moden. Bukan sekawan rakan kerja yang model pemikiranmasih kampungan dan bergaya dengan idea dekad lima puluhan.
Cabaran utama bukan sekadar mencari Presiden baharu. Persoalannya: Mahukan badan gabungan FAM di negeri dan kelab mengundi secara pukal dengan memberi peluang kepada pasukan pengurusan baharu bagi membantu bakal presiden.
Kalau muka lama – jawablah Wal Asal Balik Hasil.
FAM pasti kekal kolot dan kampungan!

