SEREMBAN – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) komited dalam membantu masyarakat Orang Asli menambah pendapatan mereka termasuk melahirkan lebih ramai usahawan Orang Asli dan mengkomersilkan produk buatan mereka.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata antara usaha yang sedang giat dijalankan ialah mewujudkan Rural Premium Outlet (RPO) di setiap Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di seluruh negara.
“Buat permulaan, RTC Gopeng, Perak akan menjadi perintis kepada RPO ini yang akan mula beroperasi secepat mungkin.
“Di RPO, produk-produk usahawan luar bandar dan Orang Asli akan dipamerkan di bawah satu bumbung dan di situlah orang ramai boleh membeli dan membuat tempahan produk buatan usahawan-usahawan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Orang Asli 2016, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Mohd Jamalludin Kasbi, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Hasim Rusdi, dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan dan Integrasi Nasional Datuk Ismail Lasim.
Selain itu, Ismail Sabri berkata pihak kementerian juga akan membantu usahawan-usahawan Orang Asli ini untuk membuat padanan perniagaan dengan pasar raya-pasar raya di negara ini.
Beliau berkata kerajaan juga telah memperuntukkan RM20 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11 untuk melahirkan 600 usahawan Orang Asli.
“Untuk tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan RM4 juta untuk melahirkan 50 usahawan Orang Asli menjelang akhir tahun ini.
“Kami percaya masyarakat Orang Asli mempunyai potensi yang besar dalam bidang keusahawanan kerana mereka mempunyai niche produk yang tersendiri yang mungkin tidak terdapat di tempat lain, tetapi terdapat di perkampungan Orang Asli,” katanya.
Beliau berkata antara produk niche daripada usahawan Orang Asli ialah produk berasaskan kesihatan seperti Tongkat Ali dan Ubi Jaga.
Sementara itu, seramai 37 usahawan Orang Asli dan tiga koperasi Orang Asli telah menyertai Karnival Usahawan Orang Asli yang berlangsung selama empat hari bermula semalam di Seremban Prima.
“Karnival usahawan ini merupakan satu karnival yang bertujuan untuk kita beri peluang dan platform untuk usahawan Orang Asli memperkenalkan produk mereka, mempromosikan dan membuat jualan terus kepada orang ramai.
“Untuk karnival kali ini, pihak Jakoa menyasarkan jualan sebanyak RM120,000,” katanya. – BERNAMA

