ISTILAH ‘customer is always right’ sering kali dijadikan piagam pelanggan bagi sesebuah perniagaan yang berkait rapat dengan kepuasan pelanggan.
Namun mungkin kata-kata itu tidak boleh diaplikasikan dalam kes dua lelaki ini yang berasal dari West Bromwich, United Kingdom.
Masakan tidak, gara-gara merungut dan mengadu makanan yang dihidangkan tidak menepati selera mereka, dua lelaki ini telah telah dihalang daripada memesan sebarang menu makanan di sebuah pub yang sering dikunjungi mereka.
Memetik Metro UK, Chris Stanley; 51, dan Jason Ponder; 35, walau bagaimanapun masih lagi boleh memesan minuman di situ namun sama sekali diharamkan memesan makanan kerana sering kali memberi rungutan buruk terhadap menu yang disediakan pub tersebut.
Menurut Chris dia memberikan rungutan mengatakan layanan yang diberikan pelayan adalah cukup baik namun dia tidak sukakan cara masakan chef yang dikatakan tidak menepati seleranya.
“Banyak kali saya order, kebanyakan makanannya tidak sedap dan menepati selera. Saya tahu bila saya hanya bayar £9 (RM49) untuk dua orang makan, saya tak boleh harapkan banyak dari makanan itu tapi sekurang-kurangnya saya perlu pastikan hidangan itu berpadanan dengan nilai duit yang dibayar,” katanya.
Susulan rasa tidak puas hati, Chris telah menulis surat kepada pengurus pub mengenai hal itu.
Namun, pengurus itu memberikan satu tindak balas yang sama sekali tidak dijangkakan Chris.
“Pengurus datang kepada saya dan kata dia sudah tak tahan dengan rungutan saya, jadi dia telah mengharamkan kami daripada memesan makanan, namun tidak melarang kami dari minum di situ,” katanya lagi. – MYNEWSHUB.CC

