KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya membantu melepaskan lima nelayan tempatan bersama bot mereka yang ditahan pihak berkuasa Indonesia di sekitar perairan Pulau Jarak, Lumut, Perak di sini kelmarin.
TLDM dalam satu kenyataan media berkata, TLDM berjaya melepsakan nelayan terbabit yang ditahan kira-kira pukul 3 petang pada 11 September lalu itu melalui saluran diplomatik kedua-dua pasukan.
“Pusat Operasi Markas Armada TLDM menerima satu panggilan kecemasan melalui khidmat talian Rakan Maritim (RAKAM) yang memaklumkan sebuah bot nelayan tempatan ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia di sekitar perairan Pulau Jarak.
“Daripada maklumat tersebut, TLDM telah melancarkan operasi bersepadu dengan mengatur gerak Super Lynx, KD Handalan dan KD Laksamana Tun Jamil memintas pihak berkuasa Indonesia serta bot nelayan tersebut bagi mengelakkan daripada ditunda masuk ke perairan Indonesia.
“Pihak TLDM berjaya menghubungi dan melaksanakan rundingan awal dengan pihak berkuasa Indonesia. Walau bagaimanapun bot tersebut telah ditunda ke Belawan, Indonesia,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, TLDM kemudian berunding dengan menggunakan saluran diplomasi melalui hubungan akrab dan setiakawan antara Malaysia dan Indonesia.
“Bot nelayan tersebut dibebaskan pada pukul 9.30 pagi ini. Pemilik bot bersama lima orang awak-awak dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan kini dalam pelayaran pulang ke Pantai Remis,” kata TLDM. – Mynewshub.cc

