ZURICH – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan Real Madrid dan Atletico Madrid berhubung larangan mendaftarkan pemain baharu pada dua pintu perpindahan pemain seterusnya.
Keputusan itu dibuat selepas kedua-dua kelab berkenaan melanggar peraturan dalam menandatangani pemain luar bawah 18 tahun.
Real yang menggelar peraturan itu sebagai tidak adil dan Atletico masing-masing turut didenda AS$358,000 (RM1.4 juta) dan AS$926,252 (RM3.76 juta).
Bagaimanapun, dua kelab gergasi Sepanyol itu sudah membuat keputusan untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“Jawatankuasa Rayuan FIFA sudah membuat keputusan untuk menolak rayuan daripada kelab Sepanyol, Atletico Madrid dan Real Madrid. Jawatankuasa ini turut mengesahkan keputusan yang dibuat Jawatankuasa Disiplin FIFA sebelum ini,” kata kenyataan yang dikeluarkan FIFA.
Real dan Atletico dikenakan hukuman itu pada Januari lalu tetapi merayu agar ia ditangguhkan sementara pada perpindahan pemain yang ditutup, bulan lalu.
Mereka tidak boleh mendaftarkan pemain baharu pada dua pintu perpindahan seterusnya – Januari 2017 dan Julai hingga Ogos 2017.
Real dan Atletico dibenar mendaftarkan pemain baharu pada Januari 2018. – AFP

