KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini melancarkan dan menaik taraf sistem ePembelajaran TLDM 1.0 kepada TLDM 2.0 bagi membolehkan warga TLDM menjalani latihan atau kursus di luar kelas.
Antara dinaik taraf adalah penambahbaikan bahan e-Pembelajaran ke dalam sistem itu, penambahbaikan paparan pengguna lebih interaktif dan mesra pengguna serta mentransformasikan capaian daripada rangkaian tertutup Intranet (TLDMNET) kepada rangkaian terbuka Internet secara selamat.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata sistem berkenaan boleh dicapai oleh warga TLDM di mana-mana sahaja.
Beliau berkata melalui inisiatif itu, penjimatan berkesan dapat dicapai di mana jumlah waktu warga TLDM meninggalkan tempat kerja untuk berada di kelas berkursus dapat dikurangkan.
“Sebagai permulaan, 60 peratus pembelajaran akan dilaksanakan secara dalam talian dengan sasaran di masa akan datang sebanyak 80 peratus,” katanya pada sidang media pelancaran ePembelajaran TLDM 2.0 di Wisma Pertahanan, hari ini.
Sistem itu juga akan menjimatkan beban tugas jurulatih kerana pelatih boleh mengulangi pembelajaran di mana-mana sahaja, katanya. Ahmad Kamarulzaman berkata sistem itu juga akan dirangkaikan dengan satelit X-Band supaya pelatih akan berupaya menjalani kursus dan latihan walaupun mereka berada di atas kapal ketika di laut.
Beliau berkata TLDM telah mengorak langkah dengan melaksanakan kajian penandaarasan dengan beberapa universiti dan pusat latihan tempatan serta luar negara.
“TLDM memilih Universiti Antarabangsa Unitar sebagai penasihat dan rakan strategik bagi mengorak langkah hala tuju ePembelajaran TLDM berdasarkan pengalaman dan kejayaan Unitar dalam program K-Force,” katanya.
Sistem ePembelajaran TLDM 2.0 merupakan sistem yang semakin baik daripada sistem ePembelajaran TLDM 1.0 sedia ada, yang dilancarkan pada 2003.
Sistem itu juga mengandungi lima modul pembelajaran iaitu Navigasi, Asas Kejuruteraan, Bahasa Inggeris, Ilmu Kelautan serta Kepimpinan dan Membuat Keputusan. – BERNAMA

