PELAKON yang sedang meningkat naik Idris Khan akui dirinya bercinta dengan gadis kelahiran Maghribi sejak tujuh bulan lalu.
Menurut Idris kepada sebuah laman Harian Metro, kekasih hatinya itu dikenali sebagai Sanaa Jaffer, 25; dan merupakan wanita paling rapat dengannya selain menjadi tempat berkongsi masalah.

Walau bagaimanapun, masing-masing masih lagi dalam proses mengenali hati budi dan tidak memikirkan soal rumah tangga.
Tambah pelakon berumur 28 tahun ini, dia tidak mahu terburu-buru memandangkan Sanaa baru sahaja menamatkan pengajiannya di salah sebuah institusi pengajian di Malaysia.
“Apa saya boleh katakan perhubungan kami masih di peringkat awal. Jika semuanya berjalan lancar baru kami boleh ke fasa lebih serius.
“Saya tidak mahu tergesa-gesa dalam soal ini apatah lagi dia pun baru menamatkan pengajiannya di sini. Kalau boleh biar dia bekerja dahulu. Apa pun saya mengikut saja aturan yang ditetapkan,” katanya.

Memilih pendirian untuk tidak berahsia dengan mana-mana pihak, Idris berkata percintaannya dengan kekasih kelahiran Maghribi itu diketahui keluarga dan peminat-peminatnya.
“Saya lebih suka berterus-terang. Kalau ada yang bertanya saya sedia berkongsi, begitu juga sebaliknya. Bukan apa, kalau saya berahsia pun perkara ini akan diketahui juga.
“Cuma saya tidak terlalu mendedahkannya kepada umum. Malah di laman Instagram pun tidak banyak gambar kami bersama. Mungkin sebab itu banyak yang tak perasan,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon Bodyguard ini turut memberitahu akhbar berkenaan bahawa kekasihnya itu beragama Islam. – MYNEWSHUB.CC

