TENGKU Irfan atau nama sebenarnya Tengku Irfan Bin Tengku Ahmad Syarizal, 18, merupakan  pemain piano, komposer dan konduktor muzik yang mempunyai bakat luar biasa sehingga membolehkan dirinya berdiri setaraf penyanyi antarabangsa, Stevie Wonder.

Pada usia muda Tengku Irfan telah memukau rakyat Amerika Syarikat menerusi 15 persembahan di Aspen Music Festival di Colorado, April lalu.
Aspen Music Festival merupakan salah satu festival musik klasik yang popular dan digemari ramai di Amerika Syarikat.
Tengku Irfan yang merupakan pemuzik termuda yang mengambil bahagian dalam festival yang mengumpulkan lebih 30 pemuzik klasik terbaik dan paling berbakat itu, hadir dengan memakai baju melayu dan bersampin songket.
Sebelum ini, bakat Tengku Irfan turut mendapat pengiktirafan apabila diberi peluang bermain sambil memperkenalkan muzik orkestranya kepada seluruh dunia (world premiered) di bawah kendalian konduktor tersohor, Kristjan Jarvi dan MDR Radio Symphony di Leipzig Gewandhaus, Jerman.
Leipzig merupakan tempat yang sangat berprestij kerana di tempat inilah juga Mozart dan Beethoven; mula memperkenalkan nama mereka kepada dunia.
Bakat Tengku Irfan digilap sehingga bersinar begini selepas bapanya yang merupakan seorang bekas Pegawai Perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya, mengambil keputusan berhenti kerja untuk memberi tumpuan dan menguruskan jadualnya bermain piano. -MYNEWSHUB.CC